SEAMAT DATANG

Thursday, January 6, 2011

Ketua AMK PKR Sabah keluar parti

Ikuti penjelesan beliaumelalui Facebook:


Saya telah membuat keputusan untuk keluar daripada PKR setelah hampir 3 tahun menyertainya. Baca artikel ini. Sebarkan.



by Jurin Gunsalam on Thursday, January 6, 2011 at 7:50pm



“Politics is the art of possible
Otto Von Bismarck (1815-1898)

******************************************************************
PENDAHULUAN

Saya mulai berminat mengetahui apa itu politik sekitar umur 10 tahun iaitu semasa dalam Darjah 4. Minat terhadap politik timbul melalui dorongan oleh ayah yang mahu melihat kami adik beradik lelaki mengikut jejak langkahnya. Maka sejak dari situlah saya cuba mengikuti perkembangan semasa melalui pembacaan surat khabar dan buku-buku politik. Kadang-kadang saya suka duduk di sebelah ayah semata-mata untuk mendengar apa perkembangan terkini. Kerana minat politik maka saya mulai marah sekiranya parti dan pemimpin yang saya suka kalah dalam pilihanraya. Saya mulai menangis apabila berlaku ketidakadilan terhadap negeri dan parti yang saya sokong. Semua ini berlaku secara tiba-tiba tanpa di desak oleh sesiapa pun.

Masa terus berlalu…

Mac 2008, dalam PRU12 saya tiba-tiba dipanggil untuk menjadi calon parti pembangkang melalui Parti Keadilan Rakyat di DUN Tandek dalam kawasan Parlimen Kota Marudu. Pada mulanya saya menolak kerana faktor kewangan, umur dan kerjaya pada masa itu. Hanya beberapa hari sebelum penamaan calon barulah saya menerima pelawaan tersebut, itupun selepas membuat quiet timeatau saat teduh sepertimana yang biasa diamalkan apabila berhadapan dengan suatu keputusan penting. Maka bermulalah satu perjalanan sebagai ahli politik muda.

Keputusan PRU12 agak memberangsangkan walaupun kalah namun jika dilihat dari segi jumlah undi dan sambutan rakyat, ada ruang untuk memperbaikinya. Memang banyak kelemahan. Saya tidak dapat kempen ke seluruh kawasan dalam tempoh yang singkat apatah lagi keadaan geografi yang membatasinya. Saya tiada duit tidak seperti calon yang lain. Saya orang muda hanya hati saja yang besar tapi pengalaman sepak terajang politk belum lagi berapa arif (pada masa itu). Strategi kempen terbatas oleh masa dan sumber yang ada.

Selepas PRU12, maka saya pun mengambil keputusan untuk menjadi ahli PKR secara rasmi dengan mengisi borang keahlian. Sejurus selepas itu saya dilantik menjadi Naib Ketua Bahagian (lantikan). Saya buat kerja menurut kemampuan dan skop kerja yang di berikan oleh ketua.

Pada 5hb Jan 2011, saya mengambil keputusan untuk keluar daripada parti. Niat keluar parti sebenarnya sudah dalam fikiran saya beberapa minggu sebelum Krismas lalu. Tapi saya tidak dapat mengungkapkannya kerana saya mahu menenangkan hati saya, takut-takut nanti bercampur emosi seperti sindiran beberapa teman. Keputusan ini tentunya bukan senang, perlu mengambilkira semua aspek. Ada teman-teman yang dulu saya bawa masuk parti ini bertanya, “kenapa bawa kami masuk, sedangkan akhirnya kamu keluar?”. Pertanyaan sebegini adalah lumrah dan saya mengerti maksudnya, namun setelah menjelaskan keadaan maka mereka faham kedudukan sebenar. Saya keluar daripada parti bukan di dorong oleh faktor kebendaan dan jawatan. Saya pernah ditawarkan untuk bertanding Naib Ketua AMK Nasional tapi saya menolak. Saya juga antara nama yang disebut bakal dilantik menjadi Ketua AMK Negeri, tapi saya menolak akhirnya. Saya juga sebenarnya tidak mahu bertanding pada pemilihan cabang yang lalu, tapi atas persetujuan dengan calon-calon ketua cabang maka saya pun menawarkan diri dan menang sebagai Ketua AMK.

Pada saya, kuasa dan kedudukan bukanlah penentu seseorang itu berpengaruh. Tapi orang yang berpengaruh pastinya akan berkuasa!

Baiklah, ada yang bertanya mengapa saya keluar parti. Tentunya saya tidak dapat menjawab semuanya disini namun sekadar untuk rujukan dan bahan perbualan di luar sana maka saya senaraikan di bawah:

1. Pergolakan Dalaman (Politiking)

Kepimpinan parti sentiasa bergolak khususnya di kalangan pimpinan negeri yang asyik bergaduh menentukan siapa menjadi ketua. Keadaan ini tidak sihat di mana masing-masing mempunyai kumpulan tersendiri dan sekiranya kumpulannya tidak dipilih menjadi ketua, kumpulan yang satu lagi akan sabotaj dari dalam. Perkara sebegini akan terbawa-bawa dalam pemilihan calon akan datang, di mana calon yang tidak dipilih akan sabotaj atau bertanding tiket bebas. Sebagai sebuah parti pembangkang, PKR haruslah mengamalkan etika politik yang betul untuk mencapai misi menumbangkan pemerintah. Pemimpin di atas sibuk berkelahi, rakyat di bawah dahagakan perubahan!

2. Autonomi Politik

Salah satu dasar PKR dan Pakatan Rakyat (PR) ialah mewujudkan autonomi kepada negeri-negeri di Borneo. Dasar ini adalah sejajar dengan Perjanjian Malaysa 1963, yang mana Sabah dan Sarawak bergabung dengan Malaya untuk membentuk Persekutuan Malaysia dalam satu kesepakatan sebagai rakan kongsi yang samarata. Sebagai sebuah rakan kongsi yang samarata, Sabah seharusnya diberikan hak sepenuhnya untuk menentukan halatuju politiknya sendiri. Dalam konteks parti, pemilihan pimpinan parti peringkat negeri samada badan induk, sayap angkatan muda dan sayap wanita seharusnya di tentukan oleh ahli-ahli PKR di Sabah dan bukannya oleh Ibupejabat di Petaling Jaya. Kuasa Presiden haruslah dihadkan dan bukan dengan sewenang-wenangnya melantik pemimpin yang tanpa mendapat restu majoriti daripada penyokong akar umbi. Sehingga kini perlantikan barisan kepimpinan negeri masih ditangguh-tangguh. Saya tidak mahu prinsip ‘menunggu’ arahan dari Ibupejabat menjadi pegangan kerana ini adalah budaya UMNO. Melantik Ketua Menteri pun harus menunggu persetujuan dari Ibupejabat.

3. Gerakerja Lemah

Sehingga ke hari ini selepas hampir 3 tahun bersama PKR belum ada gerakerja yang mantap seperti roadshow, kempen berterusan dan sebagainya samada melalui badan induk, sayap angkatan muda atau sayap wanita. Namun tidak dapat dinafikan ada beberapa pemimpin yang aktif dalam gerakan pemantapan parti, tapi ini tidak cukup. Ianya mestilah disertai oleh seluruh organisasi parti negeri supaya dilihat sebagai satu pasukan. Keadaan sekarang, sekiranya kumpulan A buat roadshow, kumpulan B pula boikot dan sebaliknya.

4. Organisasi Lemah

Struktur organisasi peringkat negeri kelihatannya sangat lemah. Masing-masing hanya memanaskan kerusi sahaja tapi tidak dapat bergerak untuk memantapkan parti kecuali ada beberapa tokoh. Ada yang mahukan jawatan tapi apabila diberikan jawatan, jawatan tersebut pula tidak dapat diangkat. Kalaulah ini gambaran terhadap PKR sebagai parti peneraju kerajaan negeri akan datang, maka kesianlah rakyat. Bagaimanakah mungkin kita mengharapkan perubahan sekiranya pemimpin-pemimpin masih lagi berfikiran sekadar melepaskan batuk di tangga? Tokoh-tokoh yang diyakini mampu mengangkat imej parti mestilah di ketengahkan. Sebagai tambahan, setakat ini belum ada rangka manifesto negeri PRU13, belum ada bengkel dan seminar pemantapan dibuat.

5. Hasil Penyiasatan Pemilihan

Pemilihan parti baru-baru ini di calar dengan penipuan yang dirancang oleh pihak-pihak tertentu. Laporan demi laporan sudah diserahkan kepada Presiden, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dan Setiausaha Agong. YB Saifuddin Nasution, Setiausaha Agong dalam Kongres PKR baru-baru ini memberi jaminan untuk mengumumkan hasil siasatan dalam tempoh 2 minggu namun setelah 2 bulan berlalu hasil siasatan belum lagi diumumkan. Sebagai seorang yang idealis, saya mengharapkan PKR adalah parti yang menjunjung tinggi prinsip KEADILAN, namun apabila berlaku ketidakadilan dalam pemilihan saya mulai bertanya kepada diri saya, “bolehkah PKR memberikan keadilan kepada Sabah sedangkan ahlinya sendiri tidak mendapat keadilan sewajarnya?”. Kita boleh perbaiki kelemahan parti tapi bagaimana pula memperbaiki penipuan dalaman?

6. Fokus Tumpuan

Putrajaya adalah destinasi impian PKR/Pakatan Rakyat. Tapi jangan lupa, impian ini hanya tercapai sekiranya mendapat kemenangan dalam PRU13. Sementara menuju Putrajaya banyak kerja dan pengorbanan yang harus dibuat. Penumpuan seharusnya diberikan kepada negeri Sabah dan Sarawak kerana negeri-negeri ini adalah simpanan tetap BN. Pada masa yang sama PKR memerlukan banyak kerusi dari Borneo bagi membolehkannya mengambilalih teraju kerajaan. Namun apa yang berlaku sekarang, tumpuan lebih banyak di semenanjung. Semasa pemilihan MPP dulu ramai pemimpin-pemimpin pusat datang ke Sabah berkempen dan merayu meminta di undi, apabila sudah menang batang hidung pun tak nampak.

PENUTUP

Selama hampir 3 tahun bersama PKR, saya tidak pernah mendedahkan kelemahan parti secara terang-terangan kerana saya mahu menjaga imej parti di mata rakyat. Malah saya cuba sedaya upaya mengangkat imej dan martabat parti dalam ruang kapasiti yang saya ada, sebagai contoh membawa teman-teman dari pelbagai latarbelakang samada profesional atau bukan profesional untuk memahami idelisme perjuangan.

Sekiranya berlaku masalah dalaman parti samada di peringkat negeri atau nasional, saya juga cuba sedaya upaya untuk menutupnya dan berkata, “ini semua perkara biasa, berlaku dalam semua organisasi”.

Saya tidak menafikan dengan kerja kuat dan kerjasama erat, pembangkang berpotensi untuk mengambilalih teraju pemerintahan. Di Sabah, sejujurnya kawasan ‘putih’ bagi pembangkang adalah kerusi KDM, kerusi campuran dan kerusi Cina sahaja, dengan syarat…a)…b)…c) dan sebagainya (biarlah think-tankmereka yang fikirkannya nanti). Manakala, kerusi majoriti bumiputera Muslim masih sukar untuk ditawan. Mungkin ada yang tidak bersetuju, tapi inilah analisis saya.

Tentunya ramai juga teman-teman yang masih bertahan dalam perjuangan PKR. Saya ucapkan teruskan perjuangan murni anda. Saya tidak memusuhi mereka yang masih bertahan, sama juga saya tidak bermusuh dengan teman-teman dalam parti pemerintah. Saya tiada musuh dalam politik, yang ada adalah cuma perbedaan prinsip dan pendekatan. Bagi teman-teman yang pernah memberikan galakan dan nasihat, saya ucapkan jutaan terima kasih. Saya menghargai anda. Tentunya nasihat dan pandangan teman-teman tersebut boleh menjadi bekal untuk perjalanan seterusnya.
Persoalannya, ke manakah arah perjalanan seterusnya selepas ini?

Soalan ini tidak dapat dijawab sekarang.

Tunggu dan lihat sahaja, inspirasi pastinya akan tiba jua.


-JG
Kota Kinabalu, Sabah
6 Januari 2011

No comments:

Post a Comment